Wednesday, April 26, 2006

Malam Lailatulqadr

Firman ALLAH SWT:

Maksudnya:

“Sesungguhnya kami menurunkan (Al-Quran) pada Malam Lailatul Qadr. Dan tahukah kamu apakah Lailatul Qadr itu? Malam Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan.”
(Al-Quran, Surah Al-Qadr:1-3)

Adalah Rasulullah SAW mencari-cari malam Lailatul Qadr dan menyuruh para sahabatnya mencari-cari malam tersebut.

Baginda mengejutkan keluarganya supaya sama-sama beribadat pada sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadhan dengan harapan supaya dapat memperolehi Malam Lailatul Qadr yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaannya itu.

Malam Lailatul Qadr itu adalah sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadhan, iaitu pada malam yang kedua puluh tujuh, berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ubai Bin Ka’ab (r.a):

Maksudnya:

“Demi ALLAH, sesungguhnya aku tahu di malam bilakah Lailatul Qadr itu. Ianya adalah malam di mana kami telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW melakukan qiamulail, iaitu pada malam yang kedua puluh tujuh.”

Sebuah hadith sahih dari ‘Aisyah (r.a) menceritakan:

Maksudnya:

“Ya Rasulullah, jika aku bertemu malam Lailatul Qadr, apakah yang patut aku katakan?”

Jawab Rasululllah SAW:

“ALLAHUMA INNAKA ‘AFUWWUN, TUHIBBUL AFWA, FA’FU’ANNI.”

Maksudnya:

“Ya ALLAH! Sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, sukakan kemaafan, maka maafkanlah segala kesalahanku.”

Friday, April 21, 2006

Umrah D’ Ramadhan

Menurut hadith sahih, Rasulullah SAW telah bersabda:

Maksudnya:

“Pahala mengerjakan umrah di bulan puasa itu menyamai pahala satu kali haji.”
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut riwayat yang lain:

Maksudnya:

“Menyamai pahalanya dengan pahala mengerjakan haji bersamaku.”

Maksudnya mengerjakan haji bersama Rasulullah SAW.

I’tikaf

Dalam sepotong hadith riwayat Al-Bukhari, kita mendapati bahawa:

“Adalah Rasulullah SAW itu beri’tikaf selama sepuluh hari di dalam bulan Ramadhan. Manakala dalam tahun ini di mana baginda wafat, baginda beri’tikaf selama 20 hari.”

I’tikaf merupakan ibadat yang mencakupi kebanyakan amalan taat seperti solat, tilawah, berzikir, berdoa dan lain-lain. I’tikaf itu adalah sangat dituntut pada sepuluh hari yang terakhir.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“Tiada i’tikaf kecuali di tiga masjid.”
(Hadith riwayat Al-Baihaqee)

(Peringatan: I’tikaf tersebut disyarakkan di tiga masjid sahaja, iaitu masjidil Haram di Mekah, Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil ‘Aqsa di Baitul Maqdis)

Friday, April 14, 2006

Membaca Al-Quran

Bulan Ramadhan adalah bulan di mana turunnya Al-Quran. Maka hendaklah kita membacanya sepertimana diamalkan oleh para Sahabat (r.a.).

Di luar bulan Ramadhan ganjaran membaca Al-Quran ialah sepuluh pahala untuk satu huruf bukan satu ayat. Pada bulan Ramadhan, ALLAH SWT melipat gandakan ganjaran tersebut iaitu 70 kali ganda.

Oleh itu marilah kita cuba mengkhatamkannya sekurang-kurangnya sekali, pada bulan Ramadhan ini.

Wednesday, April 05, 2006

Bersedekah

Adalah Rasulullah SAW merupakan seorang yang paling pemurah. Baginda menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan. Rasulullah SAW telah bersabda;

Maksudnya:

“Sebaik-baik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadhan.”

(Hadith Tirmidzi dari Anas)

Bersedekah pada bulan Ramadhan itu mempunyai kelebihan dan keistimewaannya. Maka bersegeralah menunaikannya menurut kadar yang terupaya.

Rasulullah SAW juga bersabda:

Maksudnya:

“Barangsiapa yang menjamu orang yang berbuka, maka pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa.”

(Hadith riwayat Ahmad dan An-Nasai’e dan disahihkan oleh Albani)

Sunday, April 02, 2006

Qiamulail

Rasulullah SAW telah bersabda:

Maksudnya:

“Barangsiapa yang mendirikan solat malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosanya yang telah lalu.”

(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kata-kata terawikh itu diambil dari “Muraawahah”, atau berasal “Raahatun”, ertinya menghilangkan lelah, berlapang-lapang atau beristirehat.

Pendek kata qiamulail yang telah dikerjakan Rasulullah SAW itu, baik pada bulan Ramadhan amhupun pada malam-malam lainnya tetap dikerjakan dengan cara bertenang-tenang tidak terburu-buru.

Oleh itu, lakukanlah solah terawikh dengan “Q” iaitu mementingkan ‘QUALITY’-nya BUKAN ‘QUANTITY’-nya.

Kita mestilah menjada adab-adab solat seperti to’maninah, bacaan yang teratur terutama sekali surah Al-Fatihah dan rukun-rukun solat yang lain.