Wednesday, March 22, 2006
TIADA AMALAN KHUSUS DITUNTUT PADA MALAM NISFU SYAABAN
SYAABAN adalah gerbang menyambut Ramadan yang penuh berkat. Oleh itu, umat Islam digalakkan berpuasa sunat pada bulan ini sebagai latihan dan persediaan sebelum menghadapi kewajipan berpuasa sebulan penuh pada Ramadan kelak.
Ia dinamakan Syaaban kerana Allah banyak memberi rahmat kepada hamba-Nya pada bulan ini. Kelebihan Syaaban berbanding bulan lain ialah seperti kelebihan Nabi Muhammad saw terhadap semua nabi. Sementara, keutamaan Ramadan berbanding bulan lain adalah seperti keutamaan Allah kepada hamba-Nya.
Pada Syaaban, ada satu malam yang sangat dinanti-nantikan umat Islam iaitu malam Nisfu Syaaban. Umat Islam akan membanjiri masjid dan surau untuk menghidupkan malam itu dengan bacaan surah Yasin secara beramai-ramai.
Malam itu menyaksikan limpahan manusia hingga masjid dan surau tidak dapat menampung bilangan jemaah yang begitu ramai. Begitulah keistimewaan malam Nisfu Syaaban hingga mampu menarik perhatian umat Islam untuk sama-sama memakmurkan rumah Allah.
Namun, timbul persoalan mengapa umat Islam hanya beramai-ramai melangkah kaki ke masjid dan surau pada malam Nisfu Syaaban, tidak pada hari dan bulan lain.
Perlu ditegaskan bahawa setiap bulan Hijrah memiliki keistimewaan dan kelebihan masing-masing. Bagi Muslim bertakwa akan sentiasa berusaha merebut dan meraih keistimewaan yang Allah sediakan pada bulan berkenaan.
Muslim sejati tidak akan memilih bulan atau hari tertentu untuk beribadat kepada Allah. Dia akan sentiasa beristiqamah dan beriltizam menjunjung segala titah dan perintah Allah pada setiap masa dan keadaan hingga bertemu menghadap Allah nanti.
Di samping itu, ada himpunan hadis yang menerangkan keistimewaan Syaaban, kelebihan malam Nisfu Syaaban dan keutamaan amalann tertentu pada bulan ini. Namun, kebanyakan hadis itu adalah hadis daif menurut pandangan ulama.
Bagaimanapun, ada sebahagian ulama berpendapat bahawa hadis daif boleh dipegang dalam fadhail amal (untuk kelebihan beribadat) secara perseorangan.
Jelas daripada fakta di atas bahawa dalam Syaaban ini umat Islam dianjurkan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah dengan meningkatkan amal soleh dan memperbanyak ibadah.
Tidak ada hadis yang diriwayatkan berkaitan dengan amalan dan bacaan doa tertentu pada pertengahan Syaaban yang mencapai taraf hadis sahih. Menurut mereka, tidak ada satu pun hadis sahih yang membicarakan mengenai malam Nisfu Syaaban dan amalan yang dianjurkan pada malam itu.
Berdasarkan amalan yang biasa dilakukan oleh umat Islam di Malaysia iaitu amalan membaca surah Yasin sebanyak tiga kali dan bacaan doa secara khusus pada malam itu adalah doa yang tidak ada asal usulnya.
Ia juga tidak menepati dalil syarak sama ada dalil manqul (bersumberkan Quran dan hadis) atau ma'qul (bersumberkan pendapat ulama mujtahidin yang muktabar).
Mengikut Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya al-Fatawa bahawa kandungan doa itu secara umumnya adalah permohonan supaya ditetapkan sebagai seorang yang bahagia dan murah rezeki bersesuaian dengan segala kebaikan.
Maksud doa itu berdasarkan firman Allah
يَمْحُو اللّهُ مَا يَشَاء وَيُثْبِتُ وَعِندَهُ أُمُّ الْكِتَابِ {39
yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menghapus dan menetapkan apa yang Dia kehendaki, dan di sisi-Nya ummul kitab (ibu segala suratan).” (Surah al-Ra'd , ayat 39), jika telah ditetapkan dalamnya bahawa pemohon menghadapi kesukaran, kesusahan dan ’pengharaman’ daripada rezeki.
Jelas dari sini percanggahan yang nyata dalam isi kandungan doa ini. Pada permulaannya, pemohon berkata, sekiranya dia telah tertulis di sisi Allah dalam kitabnya sebagai seorang yang susah dalam urusan mencari rezeki, maka pendoa meminta supaya dihapuskan kesusahan itu dan ditetapkan di sisi Allah dalam kitabnya (yang sama) sebagai seorang yang bahagia dan murah rezeki untuk segala kebaikan, berdasarkan maksud ayat yang disebutkan.
Makna ummul kitab ialah tidak ada di dalamnya penghapusan dan tidak ada pengisbatan (penetapan), maka bagaimana dia (orang yang berdoa) pada masa yang sama memohon penghapusan dan pengisbatan dalamnya.
Pada masa sama, ucapan doa ini bertentangan dengan adab berdoa seperti yang digariskan oleh ajaran Islam. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Apabila kamu meminta kepada Allah (berdoa kepada-Nya), janganlah kamu ucapkan : Ya Allah ampunilah daku jika Kamu kehendaki, rahmatilah daku jika Kamu kehendaki, berikanlah rezeki padaku jika Kamu kehendaki, sebaliknya hendaklah kamu menetapkan permasalahannya (apa yang diminta), Allah Maha
Berkuasa melakukan berdasarkan ketentuan-Nya dan tidak ada paksaan atas-Nya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Seterusnya, umat Islam dianjurkan melaksanakan amal ibadat sebanyak mungkin menurut kemampuannya pada malam itu . Antaranya bersolat lima waktu secara berjemaah, bersolat sunat dan melakukan solat tahajud, berpuasa sunat, membaca al-Quran, beristighfar kepada Allah, bertasbih, bertahlil, bertakbir dan membaca berbagai doa dan zikir yang ma'thur.
Ada pendapat menyatakan amalan membaca surah Yassin dan sembahyang sunat khas dua rakaat pada malam berkenaan sesudah melakukan sembahyang Maghrib iaitu setelah mendirikan sembahyang sunat ba'diah adalah bidaah semata-mata.
Dikatakan juga bahawa sesetengah umat Islam amat suka menghidupkan malam ini, mungkin kerana terdorong oleh kenyataan yang pernah disebutkan oleh sebahagian ulama dalam kitab tafsir dan hadis yang menunjukkan kelebihan malam Nisfu Syaaban.
Persoalan seperti ini memang sering diperbesar untuk mengeliru dan melemahkan semangat umat Islam untuk beribadah kepada Allah dengan penuh keikhlasan.
Oleh itu, menjadi kewajipan setiap Muslim untuk kembali kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah supaya dapat melaksanakan ajaran Islam yang sebenar. Di samping itu, mengelakkan diri daripada amalan bidaah yang sesat lagi menyesatkan. .
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment