Sunday, September 24, 2006

FS3-Fiqh Puasa #3: Puasa Ramadhan 1

Al-Sayyid berkata puasa itu ada dua jenis: Puasa fardhu dan Puasa Sunat (tathawwu’). Puasa fardhu ada tiga (3) jenis: Puasa Ramadhan, Puasa Kaffarat dan Puasa Nadzar. Syarh: Prof al-Qardhawi membahagikan puasa kepada empat: puasa wajib , puasa sunah, puasa makruh dan puasa haram. Kita akan lihat nanti. Namun, pembahagian al-Sayyid adalah suatu yang biasa dalam kitab-kitab fiqih.

Puasa Ramadhan

Hukumnya, Wajib menurut al-Qur:an, Sunnah dan Ijmaa’.


Syarh: kenyataan al-Sayyid agak longgar. Kenyataan yang tegas dan lugas ialah: “Puasa Ramadhan adalah hukumnya wajib ke atas setiap orang Islam yang telah baligh, berakal, sihat dan bermukim. Ia merupakan salah satu rukun Islam yang lima. (Syaikh Kamal alsayyid Salim, sahih Fiqh Sunnah, terjemahan pustaka azam, Id, 2/141)

Dalil Qurani (#152)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

QS alBaqarah 2: 183 (Wahai orang-orang beriman, diwajibkan atasmu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa).


Tafsir dan syarah: Ayat ini sepintas lalu menjelaskan puasa ini ada sejarahnya. Kata al-Qurthubi menukil tafsir Qatadah dan asSya’bi bahawa puasa kepada umat terdahulu (Musa dan Isa, keduanya AS) adalah juga puasa Ramadhan (30 hari) [Qurthuby. alJaami’, 1/651]

Syaikh Muhammad Abduh dan Imam Rashid Ridha menolak pendapat al-Qurthubi kerana al-Quran tidak menerangkan dengan jelas, cuma secara umum sahaja. Dengan ini, puasa kaum terdahulu baik agama samawi (langit) atau ardhi (bumi) semuanya ada amalan berpuasa dalam pelbagai cara pelaksanaan dan jumlah harinya (sikit atau banyak) [al-Manar, 2/144] Dari Tafsir Ibn Kathir yang menukilkan tafsir Ibn Mas’ood ra, bahawa puasa itu difardhukan sejak zaman Nabi Nuh AS lagi. [WA]

Dalil Qurani #153:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

QS alBaqarah 2:185 (Yakni pada bulan Ramadhan, yaitu saat diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia dan penjelasan dari pedoman serta pemisah – antara yang hak dan batil – Maka barangsiapa yang berada di tempat itu pada bulan itu, hendaklah dia berpuasa).


Tafsir dan syarah: Allah SWT memuji dan memilih Ramadhan sebagai wadah untuk diturunkan al-Qur:an. Menurut hadith Imam Ahmad, dari Wa’ilah bin Asqaa’, bahawa Nabi saw, Suhuf Ibrahim, taurat, Injil dan al-Qur:an diturunkan semuanya pada bulan Ramadhan (khusus untuk al-Quran, ia diturunkan pada tanggal 24 Ramadhan.” Hadith ini disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih Seerah Nabawiah, ms 94.

Cuma tarikh 24 Ramadhan itu diperselisihkan antara 29 Ramadhan atau sepuluh terakhir Ramadhan. Menurut Imam Fakhruddin arRadzi dalam tafsir Mafatih alGhaib, bahawa kenapa puasa dikaitkan dengan penurunan al-Quran ialah kerana paduan antara al-Quran dan puasa itulah sebagai satu latihan yang amat istimewa untuk melaksanakan al-Quran dalam kehidupan. Maka di sepanjang Ramadhan, aktiviti utama ialah puasa, solat dan al-Quran.

Dalil Hadith (hadith #154) (Didirikan Islam atas lima dasar: mengaku tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad Utusan Allah, mendirikan solat, membayar zakat, berpuasa Ramadhan dan naik Haji). Takhrij: Bukhari-Muslim, misalnya alBukhari, (#7, ksa, kitab al-Iman), Muslim, kitab al-Iman (# 21, 22, ksa); ia memiliki beberapa jalur periwayatan tapi semuanya bertemu dengan Ibn Umar. (hadith #4 dalam Matan arba’iin anNawawiyah). Matan hadith ini susunannya berbedza pada bahagian akhirnya, di mana kekadang disebutkan haji dulu, adakalanya puasa dulu. Susunan matan ini tidak apa-apa kerana dari segi tertib hukum sudah jelas Puasa adalah sebelum Haji.

Timbul masaalah, misalnya dalam kitab alKhutabaat oleh alMaudoodi dan doktrin akidah dalam firqah (aliran) syi’ah Imamiah, bahawa rukun Islam itu ditambah satu lagi, yakni Jihad.


Bahkan terdapat hadith dari Mu’adz bin Jabal ra, bahawa Nabi saw bersabda,” Kepala segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan menaranya adalah jihad” (HR Khamsah kecuali Abu Daud, disahihkan oleh al-Albani, sahih atTermidzi, # 2616) Alhafidz Ibn Rajab alHanbali (774H) telahpun menjelaskan isu ini dalam kitabnya Jami’a alUloom wal Hikam.

Bahkan isu Jihad pernah diajukan kepada Ibn Umar ra sendiri, si fulan bertanya ,” bagaimana dengan status jihad?” Jawab beliau,” sudah tentu jihad itu amat baik, tapi inilah yang aku terima dari Nabi saw. [Musnad Ahmad]. Kemudian kata Ibn Rajab, jihad menurut jumhur adalah fardhu kifayah. Menurut Dr Abdul karim Zaidan, Prof Univ Baghdad (semuga Allah memeliharanya dari kemelut yang menimpa Iraq sekarang), menjelaskan jihad adalah fardhu ‘ain dari segi hukum, tapi dari segi pelaksanaan, ia jatuh fardhu kifayah (alMufassyal, jld 4, bab jihad)

Dalil hadith (# 155). Dari Thalhah bin Ubaidillah, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW:”Ya RasuluLlah, katakanlah kepadaku puasa yang diwajibkan Allah atas diriku.” Ujar Nabi SAW,’ Puasa Ramadhan’. Tanya lelaki itu lagi: “ apakah ada lagi yang wajib atasku?” Ujar Nabi:”Tidak, kecuali kamu berpuasa sunat.” Tanpa takhriij. Takhrij dan tahqiq: al-Bukhari (kitab Shiyyam, # 1758 –ksa), Muslim (kitab al-Iman,# 12 -ksa), Abu Daud, anNasa’iy, Muwatta’ Malik dan Syafi’iy (arRisalah). Lafadz hadith ini panjang, di mana A’rabi (Arab Dusun) itu bertanya akan semua rukun Islam.

Kemudian al-Sayyid mengatakan Puasa Ramadhan juga ditetapkan sebagai hukum yang ijmaa’ (disepakati), salah satu rukun Islam, ia sesuatu ibadah yang diketahui oleh semua umat Islam secara dharuri (pasti) dan mengingkarinya adalah kufur.


Tahqiq: al-Sayyid mengutipnya dari alMughni Ibn Qudamah al-Hanbali (3/285) dan al-Majmoo’ Imam Nawawi (6/252).

No comments: