al-Sayyid menyatakan puasa mula diwajibkan pada hari Isnin 2 Sya’ban tahun ke 2 Hijrah. Tahqiq: Kita pun tidak pasti bagaimana al-Sayyid begitu tepat sekali membuat perkiraan. Tapi yang pasti persyari’atan Puasa memang di tahun kedua Hijrah dan Nabi saw sempat berpuasa selama 9 kali (alHafidz Ibn Qayyim, Zaad alMa’ad, 2/30)
Keutamaan Bulan Ramadhan dan Keistimewaan beramal padanya
Hadith dalil # 156 (No 1): Diterima dari Abu Hurayrah ra bahawa Nabi saw bersabda,” Sungguh telah datang padamu bulan yang penuh berkah, di mana Allah telah mewajibkan kamu berpuasa, di saat dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu setan-setan, dan di mana dijumpai suatu malam yang nilainya lebih berharga dari 1000 bulan. Maka barangsiapa yang tidak berhasil beroleh kebaikannya, sungguh tiadalah ia akan mendapatkan itu buat selama-lamanya.” (HR Ahmad, Nasa’iy dan Baihaqi).
Takhriij/tahqiq: anNasa’iy (4/129, # 2106), Ahmad (Musnad, 2/230), alBaihaqi (Sunan alKubra,4/303), status: hasan lighairih (hadith yang cacat sanadnya diperkuat dengan jalur sanad yg lain), kata al-Albani, Tamam alMinnah (ms 395). Hadith ini sebenarnya terputus sanadnya.
Syarh: Berkah atau dalam bahasa Melayunya berkat adalah bermaksud adanya kebaikan Ilahi terhadap sesuatu dan ia tetap. Dalil: “..pastilah Kami akan melimpahkan berkah dari langit dan bumi.” QS al-A’raaf 7: 96. Keberkahan ini adalah secara maknawi (abstrak) yang tidak mampu dikira dan dihitung oleh inderawi. (Ibn Uthaimiin, Qaulu alMufid, 1/191).
Maka bila dikatakan Ramadhan al-mubarak, bulan penuh berkat, maksudnya tidak terhitung kebaikan yang Allah berikan kepada hamba-hamba-Nya di sepanjang bulan Ramadhan berupa keampunan, kesihatan, ganjaran pahala melimpah ruah dan satu malam yang dinamakan Lailatul Qadar.[Koreksi terjemahan: 1000 malam itu sepatutnya 1000 bulan]
Hadith dalil # 157(No 2). Diterima dari Arfajah, sabda Nabi saw: “ Pada bulan itu ditutup pintu-pintu neraka, dibuka pintu-pintu syurga dan dibelenggu setan-setan. Dan seorang Malaikat akan berseru: “Hai pencinta kebaikan, bergembiralah! Dan pencinta kejahatan, hentikanlah!..sampai Ramadhan berakhir.” (HR Ahmad dan an-Nasa’iy dan sanadnya baik (Jayyid)).
Takhriij/tahqiq: anNasa’iy (4/129, # 2081 -ksa), Ahmad (Musnad, 18042-ksa; Fathu Rabbani 9/255). Hadith ini hasan kerana matan yang agak sama juga dikeluarkan oleh Termidzi dari Abu Hurayrah seperti mana terdapat dalam Sahih atTarghiib 1/417, Sahih Ibn Majah, # 1331 (al-Albani). Namun kita hairan kenapa al-Sayyid meninggalkan hadith Bukhari-Muslim: Dari Abu Hurayra ra: bahawa Nabi saw bersabda:
إذا دخل شهر رمضان فتحت أبواب السماء وغلقت أبواب جهنم وسلسلت الشياطين
Terjemahnya: “Apabila bulan Ramadhan telah tiba, maka pintu-pintu langit dibuka, pintu-pintu Jahannam ditutup dan setan-setan dirantai.” [Bukhari, 1766-ksa; Muslim, 1794-ksa].
Syarah: yang menjadi isu besar ialah apakah maksud dibelenggu setan-setan pada bulan Ramadhan. Ia diperselisihkan di kalangan ahli ilmu kerana hadith ini boleh saja diambil secara zahir dan juga secara metafora (simbolik) kerana kita tahu bahasa Arab amat kaya dan mendalam akan metaforanya (tamthilnya) dan juga ada pihak ketiga yakni yang menyerahkan kepada Allah akan maksudnya.
Imam Ahmad dan Syaikh Uthaimin (menerima hadith pada zahirnya dan tidak menggalakkan hadith ini ditakwil kerana kita dapati para salaf tidak mentakwilnya. Adapun pendapat Ibn Hajar berpendapat syaithan mati kutu kerana umat Islam sibuk beribadah (alFath: 4/114)
Hadith dalil # 158 (No 3): Dari Abu Hurayrah ra, bahawa Nabi saw bersabda: “ Solat yang lima waktu, Juma’at ke Juma’at, dan Ramadhan ke Ramadhan berikutnya menghapuskan kesalahan-kesalahan yang terdapat di antara masing-masing selama dijauhi dosa besar (kabair)" (HR Muslim).
Takhrij: Sahih Muslim, kitab Taharah, # 342 –ksa,al-Albani, silsilah alSahihah, 4/ no 1920. Syarh: Kata Syaikh Ibn Uthaimiin, maksud diampuni dosa dari Ramadhan ke Ramadhan ialah puasawan yang berpuasa di atas dasar iman, rela dengan kefardhuan puasa tanpa merasa terpaksa dan tertekan serta sentiasa mengharapkan pahala dan ganjaran (Majalis syahr Ramadhan)
Hadith dalil # 159 (No 4): Dari Abu Sa’id alKhudri ra, bahawa Nabi saw bersabda: “Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengetahui batas-batasnya, dan ia menjaga diri dari segala apa yang patut dijaga, dihapuskanlah dosanya yang sebelumnya.” (HR Ahmad, dan al-Baihaqi dengan sanad jayyid). Takhriij: alBaihaqi, Sunan alKubra (4/304), Musnad Ahmad (3/55). Hadith ini dinilai dha’if oleh al-Albani (Tamam alMinnah, ms 395; adDha’ifah, # 5083) kerana terdapat perawi bernama Abdullah bin Quraith yang majhul (tidak dikenali). Terdapat hadith Syaikhan dari Abu Hurayrah yang membawa makna hampir dengan hadith ini:
من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
Terjemahnya: “Barangsiapa berpuasa Ramadhan kerana keimanan dan hanya mengharap pahala dari Allah, maka ia diampuni dari dosanya yang telah lalu.” [Bukhari kitab al-Iman, # 37]
Hadith dalil # 160 (No 5): Dari Abu Hurayrah, bahawa Nabi saw bersabda: “Barangsiapa berpuasa Ramadhan kerana keimanan dan hanya mengharap pahala dari Allah, maka ia diampuni dari dosanya yang telah lalu.” (HR Ahmad dan ash-habuss Sunan). Takhrij: hadith yang sama matannya adalah hadith Bukhari-Muslim dan menjadi suatu yang mengherankan kenapa al-Sayyid tidak menyebutnya. Takhrij dalam Bukhari adalah seperti dalam # 4 di atas
Sunday, September 24, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment